Dua beranak maut kereta langgar tembok jambatan
Bernama
September 30, 2024 11:20 MYT
September 30, 2024 11:20 MYT
SEREMBAN: Perjalanan pulang empat beranak berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kereta Perodua Axia yang dinaiki merempuh tembok jambatan di Kilometer 21 Jalan Kuala Pilah-Tampin semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Gani berkata dalam kejadian pada 3.45 petang itu, mangsa yang terkorban adalah bapa berusia 64 tahun dan anak lelakinya berusia 31 tahun, manakala ibu, 62 tahun dan anak perempuan, 28 tahun, hanya mengalami kecederaan.
"Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku semasa mangsa dalam perjalanan pulang menghantar anaknya yang lain ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Lendu, Melaka dan sedang menghala ke Johol.
"Sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tembok jambatan berdekatan Masjid Jamek Pekan Johol," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata akibat perlanggaran tersebut, pemandu dan penumpang belakang disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi tercedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.
Kes disiasat di bawah Seksyen (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
-- BERNAMA