Dua beranak maut kereta bertembung bas

Raffi Bachik
Februari 3, 2018 22:12 MYT
Pemandu bas serta lima penumpang turut cedera dan dikejarkan ke Hospital Tangkak untuk menerima rawatan lanjut. - Astro AWANI/Raffi Bachik
Dua beranak maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 22, Jalan Muar-Segamat, petang tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 4.20 petang itu, Rahim Osman, 47 tahun dan anak lelakinya, Muhammad Luqman Adam, 12 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohad Idris Samuri berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Rahim itu hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah bas sekolah yang membawa 44 penumpang yang datang dari arah bertentangan.
Pemandu bas serta lima penumpang turut cedera dan dikejarkan ke Hospital Tangkak untuk menerima rawatan lanjut.
39 penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke hsopital yang sama untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#bas #kemalangan #maut #meninggal dunia #Muhammad Luqman Adam #Myvi #Perodua #Rahim Osman
;