Dua beranak lemas, seorang masih hilang
Vivi Sumanti
Mac 20, 2018 23:03 MYT
Mac 20, 2018 23:03 MYT
Dua beranak lemas manakala seorang lagi masih hilang ketika mandi di Pantai Telong, Kandis di sini petang Selasa.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Muhammad Khairu Yusof, dalam kejadian sekitar jam 3 petang, tiga mangsa berkenaan adalah antara lapan ahli keluarga yang mengadakan aktiviti di pantai tersebut sempena cuti sekolah.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Wan Halem Wan Mustapa, 44 tahun, anaknya Wan Muhammad Muzzammil, 7 tahun, dan yang masih hilang dikenali sebagai Wan Ukkasyah, 12 tahun.
Wan Halem dan Wan Muhammad Muzzammil ditemui beberapa minit selepas dilaporkan lemas, manakala Wan Ukkasyah masih lagi hilang.
Katanya, pihak bomba yang menerima panggilan sekitar jam 3 petang tadi, bergegas ke tempat kejadian dan melakukan operasi mencari mangsa yang masih hilang.
Operasi melibatkan 13 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dengan dibantu polis dan juga Angkatan Pertahanan Awam.
Keluarga berkenaan dipercayai berasal dari Kota Bharu.
Gerakkan mencari mangsa berkenaan masih diteruskan lagi.