Dua beranak jadi tokan dadah ditahan

Astro Awani
Februari 16, 2020 18:38 MYT
Turut dirampas ialah dadah pelbagai jenis, rokok putih, dua nombor pendaftaran kenderaan dan dua buah kenderaan dengan nilai kesemuanya RM1.25 juta. - Foto Astro AWANI
Dua beranak ditahan selepas mendapati terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sejak tiga tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Shafie Ismail memaklumkan, dua beranak itu berusia 21 dan 47 tahun itu kini direman sehingga 22 Februari bagi membantu siasatan.
Turut dirampas dalam operasi di sebuah bengkel di Kota Tinggi pada Sabtu, dadah pelbagai jenis, rokok putih, dua nombor pendaftaran kenderaan dan dua buah kenderaan dengan nilai kesemuanya RM1.25 juta.
"Kita percaya nombor plat ini akan ditukar setaip kali mereka jalankan aktiviti terutamanya pengedaran dadah.
“Sebenarnya mereka ini bapa dan anak, dua beranak. Bapa pernah ditangkap di bawah Seksyen 302 (Kanun Keseksaan) siasatan bunuh dan pernah diambil tindakan di bawah aktiviti perjudian, sementara anak terlibat dengan Seksyen 324 (Kanun Keseksaan) kerana mendatangkan kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jelas Shafie, hasil siasatan awal mendapati sebelum ini, anak beranak terbabit pernah menjalankan aktiviti penyeludupan rokok.
#anak dan bapa #dua beranak #Kota Tinggi #pengedar dadah #penyeludupan rokok #polis johor #Seksyen 302 #Seksyen 324 #sindiket pengedaran dadah #tokan dadah
;