Dua beranak ditahan miliki senjata api secara haram

Adie Sufian Zulkefli
Julai 6, 2020 05:38 MYT
Salah seorang suspek yang ditahan kerana memiliki senjata api secara haram. -PDRM
Dua beranak ditahan atas dakwaan memiliki dua laras senapang patah secara haram.
Suspek ayah dan anak itu ditahan pasukan Unit Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Cina, di sini, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, serbuan itu dilakukan selepas lebih dua bulan polis menjalankan risikan bagi memerangkap kedua-dua suspek.
Keadaan rumah suspek yang terletak di tengah ladang kelapa sawit selain perlu melalui jalan berbukit dan berlubang menyukarkan operasi.
Polis terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke rumah suspek.
Ketika serbuan, suspek utama cuba melarikan diri dengan sebuah kereta namun gagal, manakala anaknya ditahan di halaman rumah.
Katanya, hasil pemeriksaan polis menemukan dua butir peluru hidup di dalam bag sandang dipakai suspek.
Turut ditemukan, selaras senapang patah di belakang pintu bilik air manakala satu lagi ditanam di belakang rumah di dalam kotak berwarna putih.
Pemeriksaan lanjut menggunakan anjing pengesan menemukan 13 lagi peluru hidup di dalam rumah.
Kedua-dua suspek berusia 49 dan 25 tahun dibawa ke IPD Kulim untuk tindakan lanjut.
Kes siasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.
#Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat #Anjing pengesan #Azhar Hashim #dua laras senapang patah #IPD Kulim #senjata api
;