Dua beranak ditahan, dadah RM1.18 juta dirampas di Kota Tinggi
Bernama
Februari 16, 2020 21:36 MYT
Februari 16, 2020 21:36 MYT
Bapa dan anak ditahan dalam satu operasi melibatkan rampasan dadah bernilai RM1.18 juta dalam serbuan di sebuah bengkel di Jalan Lombong, dekat sini, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Shafie Ismail berkata dalam operasi pada 6 petang itu, polis menahan dua lelaki warga tempatan berusia 22 dan 47 tahun serta turut merampas 7,880 papan disyaki dadah jenis pil Erimin 5; 471 kotak rokok seludup pelbagai jenama; 12 bungkus mercun; 12 keping pelbagai plat nombor kenderaan; 12 bilah pedang dan dua kereta jenis Toyota Camry dan Hyundai Target 2.0.
"Nilai rampasan dadah dianggarkan RM1.18 juta, rampasan rokok dan mercun termasuk duti kastam dianggarkan bernilai RM40,000 manakala nilai kedua-kedua kenderaan tersebut dianggarkan RM30,000. Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai RM1.25 juta," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek masing-masing memiliki kes jenayah lampau membabitkan penyeludupan rokok dan dipercayai bergiat dalam pengedaran dadah jenis pil Erimin 5 sejak tiga bulan lepas untuk edaran kawasan selatan.
Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 22 Feb.
-- BERNAMA