Dua beradik warga Syria tidak mengaku salah beri rasuah RM10,000

Adie Sufian Zulkefli
Mac 2, 2021 16:13 MYT
Tertuduh, Ali Esmail Hamed dan adiknya, Alaa Esmail mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Murtazadi Amran. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Dua beradik warga Syria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah bernilai RM10,000 kepada seorang Penolong Penguasa Imigresen di Langkawi tahun lalu.
Tertuduh, Ali Esmail Hamed, 38, dan adiknya, Alaa Esmail,35 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Murtazadi Amran setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Inggeris.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama pada 22 Januari 2020 memberi suapan sebanyak RM10,000 kepada Mohd Hazwan Othman, 31, yang bertugas sebagai Penolong Penguasa Imigresen sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima orang pekerja restoran yang ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 12.50 pagi bertempat di Restoran Yasmeen Express Pantai Chenang, Langkawi yang mana membolehkan mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Kuldeep Singh Gill.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM15,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Mereka yang masing-masing merupakan pemilik dan pengurus restoran itu juga perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan serta menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula kes.
#dua beradik #warga Syria #Rasuah #Penolong Penguasa Imigresen #Mahkamah Sesyen Alor Setar #Langkawi #Restoran Yasmeen Express #Pantai Chenang #SPRM
;