Dua beradik terima upah bawa rokok seludup dicekup polis
Ridzal Abdullah
April 7, 2022 15:11 MYT
April 7, 2022 15:11 MYT
LAHAD DATU: Tindakan dua beradik mengambil upah untuk menghantar rokok seludup mengundang padah apabila mereka dicekup anggota polis Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Jeroco-Lahad Datu, semalam.
Kedua-dua suspek berusia 35 dan 37 tahun itu ditahan bersama 820 karton bernilai RM85,848 oleh anggota pasukan khas PGA ketika menjalankan tugas Op Kontraban, kira-kira jam 7 pagi Rabu.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, ketika menjalankan rondaan pihaknya menahan sebuah lori jenis Nissan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori menemukan 36 plastik hitam dan dua kotak warna coklat.
"Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan itu menemukan sebanyak 820 karton rokok tanpa cukai dianggarkan bernilai RM85,848. Jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori bernilai RM235,848," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Abdul Rani berkata, hasil soal siasat mendapati dua beradik terbabit mengambil upah untuk menghantar rokok seludup dari Kota Kinabalu ke Tawau.
"Siasatan masih diteruskan dan dua beradik dibawa ke Klinik Kesihatan Lahad Datu untuk menjalani ujian saringan COVID-19 dan negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.