Dua beradik tercicir pelajaran kembali semula ke sekolah
Sinar Harian
Januari 7, 2022 07:45 MYT
Januari 7, 2022 07:45 MYT
SABAK BERNAM: Nasib dua beradik di Taman Air Manis di sini yang tercicir dalam pelajaran akan dibela bagi memastikan mereka dapat meneruskan sesi persekolahan meskipun keluarganya dibebani masalah kewangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail berkata, dua beradik berusia 15 dan 16 tahun itu perlu dibantu bagi memastikan mereka tidak terus tercicir dalam pelajaran.
Malah, beliau dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam sudah dua kali melawat ke rumah keluarga dua beradik itu untuk mendengar sendiri masalah dihadapi.
"Walaupun keluarga ini tidak menetap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, tetapi kita tetap prihatin dan bersimpati dengan dugaan menimpa.
"Saya difahamkan, keluarga dua beradik ini hilang pekerjaan dan sudah tentu ia memberi kesan kepada mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup terutama pada situasi mencabar pada masa ini," katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan kelengkapan persekolahan kepada keluarga berkenaan di Taman Air Manis di sini pada Jumaat.
Rizam yang juga Ketua Pembangkang DUN Selangor berkata, pihaknya membantu menyediakan kelengkapan persekolahan dan wang ringgit kepada dua beradik terbabit.
"Saya difahamkan PPD Sabak Bernam menguruskan yuran persekolahan, manakala di pihak kami membantu dua beradik dari segi kelengkapan seperti pakaian sekolah, kasut dan beg," ujarnya.
Menurutnya, dua beradik itu dalam masa sama diterima masuk untuk menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Sungai Air Tawar yang mempunyai kemudahan asrama.
"Saya berharap dua beradik ini kembali bersemangat ke sekolah dan menggunakan peluang ini dengan sebaiknya," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.