Dua beradik rentung dalam kebakaran di Manggatal
Sinar Harian
September 21, 2023 19:07 MYT
September 21, 2023 19:07 MYT
KOTA KINABALU: Dua beradik ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan enam rumah di Kampung Pulutan, Menggatal di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mayat Jackron Jabri, 6, bersama adiknya Jayraiyen, 5, ditemukan di dalam salah sebuah rumah yang terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.13 tengah hari.
Katanya, seramai 12 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh lapan kilometer dari BBP Lintas.
"Menurut laporan, kebakaran melibatkan enam rumah jenis tidak kekal dan semuanya musnah terbakar 100 peratus.
"Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dan api berjaya dikawal pada jam 2.53 petang.
"Hasil pemeriksaan terdapat dua mangsa rentung di lokasi kebakaran melibatkan dua kanak-kanak di salah sebuah rumah," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Agustavia berkata, mayat dua beradik itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.25 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain dan bara api yang tinggal," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian