Dua beradik rentung dalam kebakaran di Ijok
Astro Awani
April 7, 2016 14:17 MYT
April 7, 2016 14:17 MYT
Dua beradik ditemui rentung dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Batu 4, Ijok, di sini pagi tadi.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Muhammad Darnish Iran Muhd Azmi, 15, dan adiknya Muhammad Darnish Israk, 14, ditemui rentung dalam bilik tidur mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu ibu mangsa mengalami cedera ringan.
Berdasarkan maklumat awal, kebakaran itu disedari ibu mangsa Zuriyana Marjunit yang kemudian cuba mengejutkan ahli keluarganya.
Namun kedua-dua remaja itu dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri.
Selain Zuriyana, bapa saudara mangsa, Mohd Khainizan dan nenek remaja berkenaan, Sainah Saidi terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan kira-kira 80 peratus daripada rumah terbabit.
Jiran yang menyaksikan kebakaran tersebut Izaidi Ismail melahirkan rasa terkilan dan sedih kerana beliau gagal membantu mangsa.
“Masa saya keluar ibu mangsa sudah meraung-raung dengan saya. Dia minta tolong sangat supaya selamatkan anak dia dua orang yang mana terperangkap dalam bilik tidur.
“Saya memang tidak boleh nak buat apa apa. Bila api sudah padam, memang saya tengok mangsa yang satu itu baring di atas tilam dan seorang lagi seperti dalam ketakutan di tepi dinding,” kata Izaidi.
Pihak Bomba dan Penyelamat memaklumkan mereka menerima panggilan pada jam 4.23 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Zakaria Muhd, siasatan awal mendapati kebakaran berkemungkinan berpunca dari pendawaian elektrik.
“Musim panas ini kita kena berhati-hati meninggalkan peralatan elektrik yang mana keadaan sekarangnya banyak kejadian yang menyebabkan kebakaran berpunca daripada barang elektrik mungkin cuaca kita dah berubah sekarang kita menggunakan kipas dan sebagainya,” kata Zakaria .
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat dan punca kebakaran masih disiasat.
Sementara itu Zakaria menegaskan kebanyakkan kebakaran berlaku di atas kecuaian orang ramai dan mereka yang sengaja membuat pembakaran terbuka.
Lebih seribu panggilan kebakaran hutan di negeri Selangor diterima sejak awal Januari hingga ke hari ini dan 29 panggilan setiap hari yang melibatkan kebakaran hutan dan semak di negeri itu.