Dua beradik rentung dalam kebakaran awal pagi

Abd Razak Mohd Ali
Disember 12, 2019 08:22 MYT
Dua beradik, termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) rentung apabila rumah mereka di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang dekat sini terbakar awal pagi Khamis. -Foto JBPM
Dua beradik, termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) rentung apabila rumah mereka di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang dekat sini terbakar awal pagi Khamis.
Mangsa dikenali sebagai Aisyah Din, 80, dan adiknya seorang OKU, Ida Din, 56.
Kedua-dua mereka ditemukan berhampiran pintu utama, dipercayai cuba untuk menyelamatkan diri.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.52 pagi.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B berukuran 30 x 40 kaki persegi sedang terbakar 80 peratus.
“Anggota bomba membuat kerja pemadaman menggunakan dua aliran 200 kaki pancutan bersumberkan air dari jentera dan sumber air terbuka,” katanya.
Menurutnya, mayat kedua-dua beradik itu ditemukan kira-kira jam 2.15 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketika kejadian, dipercayai mangsa tinggal berdua sahaja di rumah mereka.
Operasi tamat pada 6.27 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
#Aisyah Din #dua beradik rentung #Ida Din #JBPM Perak #kebakaran #Orang Kurang Upaya #pintu utama
;