Dua beradik rentung dalam kebakaran

Muhammad Aiman Hakeem
September 3, 2022 16:47 MYT
Dua beradik ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, tengah hari tadi. - Foto ihsan bomba
JOHOR BAHRU: Dua beradik ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, di sini, tengah hari tadi.
Mayat Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri, 2 tahun, dan Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3 tahun, ditemukan di ruangan bilik tidur ketika operasi pemadaman dijalankan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Ridzuan Malek Rivan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.41 tengah hari.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dari BBP Tebrau dibantu 14 anggota dari BBP Larkin dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan itu.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 18 x 40 kaki dengan 60 peratus dari keseluruhan bangunan musnah terbakar.
"Terdapat dua orang mangsa telah ditemui rentung di ruangan bilik tidur dan pemadaman awal telah dilakukan oleh orang awam menggunakan jirusan air paip.
"Tindakan operasi pemadaman susulan oleh Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menggunakan satu aliran 100 kaki sumber air tangki pam jentera FRT J1-58 sehingga operasi terkawal pada jam 2.20 petang," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Menurut beliau, ibu kepada mangsa yang turut berada di dalam rumah ketika kejadian berlaku, dilaporkan selamat.
Jelasnya, jenazah mangsa telah diserahkan ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, bagi urusan selanjutnya.
Mohd Ridzuan menambah, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian.
#kebakaran #dua beradik #rentung #Jalan Bunga Raya Besar #Kampung Dato Sulaiman Menteri #Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri #Muhammad Zafran Muhammad Fikri
;