Dua beradik penghantar mesin bitcoin dicekup
Adie Sufian Zulkefli
Mac 23, 2021 12:03 MYT
Mac 23, 2021 12:03 MYT
KULIM: Kegiatan dua beradik yang bersekongkol menjadi runner menghantar mesin bitcoin (matawang digital) terbongkar apabila mereka dicekup polis Kedah pada Isnin.
Adik dan abang itu ditahan polis di Sungai Kob, dekat Kulim ketika membawa 79 unit mesin bitcoin menggunakan sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, tangkapan dilakukan ketika anggota Balai Polis Sungai Kob dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulim sedang melakukan tugas rondaan di kawasan itu kira-kira jam 5 petang Isnin.
Beliau berkata, ketika itu anggotanya terserempak dengan lori yang dinaiki dua beradik berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, sebaik ditahan dua beradik itu gagal memberi keterangan terhadap 79 unit mesin bitcoin yang dibawa.
"Berdasarkan siasatan, mereka mendakwa menerima arahan untuk menghantar barangan itu daripada seorang individu lelaki melalui panggilan telefon yang meminta suspek untuk mengambil barang di premis kedai kawasan Sungai Kob dan dihantar ke kawasan Sungai Petani.
"Namun suspek gagal mengemukakan sebarang maklumat berkaitan pemilikan mesin bitcoin berkenaan dan dokumen berkaitan menimbulkan syak mesin itu dipercayai dicuri dan mahu dijual dan suspek mengaku menerima upah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azhar berkata, setiap satu mesin bitcoin itu mampu mencecah nilai RM3,000 atau lebih sekiranya dijual.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan bitcoin yang dirampas bernilai RM237,000.
"Berikutan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan munasabah terhadap mesin bitcoin yang dibawa.
"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih dari satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan.
Azhar berkata, kedua-dua suspek itu direman sehingga satu hari untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, penggunaan mesin bitcoin menjadi trend di negara ini sejak tahun 2014 lagi dalam penjanaan mata wang ’crypto’.
"Mesin bitcoin seumpama ini biasanya akan digunakan di bangunan premis kosong dan penggunaan satu mesin memakan kos elektrik sehingga RM500 sebulan.
"Disebabkan itu, pengguna mesin bitcoin dalam kuantiti yang banyak biasanya akan mencuri arus elektrik di bangunan premis bagi menjimatkan bil elektrik dan ini menjadi satu kesalahan dibawah Akta Suruhanjaya Tenaga," katanya lagi.