Dua beradik maut motosikal terlanggar lubang di jalan raya

Sinar Harian
Mac 21, 2025 17:20 MYT
Gara-gara terlanggar lubang di jalan raya, dua beradik lelaki maut apabila motosikal yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, pagi tadi. -Sinar Harian
KLUANG: Gara-gara terlanggar lubang di jalan raya, dua beradik lelaki maut apabila motosikal yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, pagi tadi.

Ringkasan AI
  • Dua beradik lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas akibat melanggar lubang di jalan raya di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara.
  • Ketua Polis Daerah Kluang menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan mengingatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka memiliki lesen sebelum menunggang kenderaan.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, dan pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

Kedua-dua mangsa, Norhazim Kamaruzaman dan pembonceng, Nur Alif Ikhwan Kamaruzaman masing-masing berusia 17 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan mengenainya pada jam 8.46 pagi.
“Siasatan mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y110 yang dinaiki oleh sepasang adik beradik yang juga pelajar dan berasal dari Felda Inas, Kulaijaya.
“Hasil siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah Felda Inas menuju ke Bandar Tenggara.
"Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai melanggar lubang di jalan dan menyebabkan mereka terbabas serta terjatuh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika menunggang motosikal, terutama di kawasan yang berisiko, selain mengingatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka memiliki lesen sebelum menunggang kenderaan di jalan raya.
Dalam pada itu, pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan. -Sinar Harian
#langgar lubang #Jalan Sengkang-Felda Inas #Bandar Tenggara #Norhazim Kamaruzaman #Nur Alif Ikhwan Kamaruzaman
;