Dua beradik maut dilanggar lori

Sinar Harian
April 27, 2022 10:50 MYT
Dua beradik perempuan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Taman Medan. (Gambar Kecil : Keadaan motosikal dinaiki mangsa).
PETALING JAYA: Dua beradik perempuan maut dilanggar sebuah lori di Jalan PJS 3/2 Taman Medan, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa berusia 11 dan 15 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian pada jam 8.54 malam.
"Siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki dua kanak-kanak itu dipercayai hilang kawalan sebelum dilanggar sebuah lori di laluan terbabit.
"Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mayat dua beradik itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang melibat atau berada di tempat kejadian diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Rozilah Hussin di talian 016-2679025 untuk bantu siasatan," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#Dua beradik perempuan maut #maut dilanggar lori #Taman Medan #PPUM
;