Dua beradik maut dalam perjalanan ke kedai

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 24, 2021 11:43 MYT
Dua beradik maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tembok batu di Jalan Air Tanai, di sini malam tadi. -Foto PDRM
ALOR GAJAH: Dua beradik maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tembok batu di Jalan Air Tanai, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, mangsa Zahrul Fitri Amer, 16 dan adiknya Afiq Wafiy, 4, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari Alor Gajah menghala ke Ayer Paabas.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa terbabas dan telah melanggar tembok batu nama jalan di bahagian kiri laluan berkenaan.
“Temu bual bapa kepada kedua-dua mangsa memberitahu anaknya keluar dari rumah untuk ke kedai dan kedua-duanya tidak memakai topi keledar,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, katanya, motosikal yang digunakan juga remuk di bahagian hadapan dan jasad kedua-dua beradik itu dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#dua beradik maut #langgar tembok batu #kecederaan parah di kepala #tidak memakai topi keledar
;