Dua beradik lihat ibu maut depan mata akibat kemalangan

Vivi Sumanti
Mei 28, 2020 15:03 MYT
Kedua-dua anak wanita itu turut mengalami kecederaan termasuk patah kaki. Gambar/ Astro AWANI
Luluh hati dua beradik apabila menyaksikan ibu mereka meninggal dunia di depan mata dalam kemalangan jalan raya di hadapan Masjid Batang Merbau, di Tanah Merah pada pagi Khamis.
Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, Nurul Mohd Deraman, 32, meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua anaknya berusia 14 dan lima tahun patah kaki, apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh ketika membuat pusingan-U.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Mat Yusoff berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Jeli ke Tanah Merah manakala kereta yang dipandu seorang wanita berusia 33 juga menuju ke arah yang sama.
"Siasatan awal mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai cuba membuat pusingan-U secara tiba-tiba.
"Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta di belakangnya tidak sempat mengelak dan berlaku perlanggaran.
"Penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian badan dan kepala," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, kedua-dua anak mangsa turut mengalami beberapa kecederaan pada badan termasuk patah kaki.
Katanya, mayat mangsa dihantar Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#cedera #kemalangan #mayat #meninggal dunia #polis #wanita
;