Dua beradik lemas ketika mandi di air terjun Sungai Sedim
Adie Sufian Zulkefli
Februari 26, 2023 21:29 MYT
Februari 26, 2023 21:29 MYT
KULIM: Dua beradik ditemukan lemas ketika mandi bersama rakan mereka di Pusat Rekreasi Air Terjun Sungai Sedim, pada Ahad.
Mayat Mohamad Syafiq Yusof, 33, dan adiknya Mohamad Syazwan, 25, berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang ditemui di dasar sungai oleh penduduk kampung.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Mohd Redzuan Salleh, berkata kedua-dua mangsa bersama tiga rakan lain tiba di kawasan air terjun terbabit pada jam 3.20 petang.
“Kesemua mereka mandi di kawasan lubuk, apabila tiba-tiba air berpusar dan meneggelamkan kesemua mereka.
“Keempat mereka berjaya naik ke atas tetapi salah seorang mereka telah dapati tiada, disyaki lemas.
“Abang mangsa telah terjun semula ke dalam sungai untuk menyelamatkan adiknya, namun kedua-dua mangsa lemas,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohd Redzuan berkata, penduduk kampung telah membantu dalam mencari dan menyelamatkan mangsa.
Katanya, kedua-dua mangsa berjaya ditemui di dasar sungai dan berjaya dinaikkan ke atas tebing sungai.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital yang tiba kemudian.
Katanya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.