Dua beradik hilang: Tukang urut didakwa amang seksual
Sinar Harian
Januari 19, 2024 13:03 MYT
Januari 19, 2024 13:03 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang tukang urut lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun tiga bulan, bermula 1 Januari lalu.
Hamid Khan Samoon, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohd Kafli Che Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja itu bagi tujuan seksual, di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan, City Centre di sini pada jam 8 malam, 1 hingga 10 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub mencadangkan lelaki itu diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, tidak mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu kadar itu dikurangkan kerana perlu menanggung kakak.
“Saya mohon kurangkanlah jumlah jaminan itu, kerana perlu menanggung kakak, dia mengharapkan saya,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mohd Kafli membenarkan Hamid Khan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua beradik lelaki berusia 16 dan 15 tahun dilaporkan hilang pada 1 Januari lalu selepas pulang daripada solat Subuh di surau kawasan perumahan mereka di Taman Bernam Jaya.
Seorang daripadanya kemudian ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni, pada malam, 11 Januari lepas.
Remaja itu mendakwa telah dikurung bersama adiknya di sebuah motel di Jalan Petaling oleh individu tidak dikenali, selain diperlakukan tidak baik, namun dipisahkan pada 9 Januari lalu. - Sinar Harian