KOTA TINGGI: Kegembiraan enam sekeluarga bermandi-manda di Pantai Awam Tanjung Buloh, Kuala Sedili, di sini sempena cuti umum Hari Pekerja bertukar tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas oleh orang awam, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata mayat Siti Rabiah Johari, 13, dijumpai kira-kira 50 meter dari pantai berkenaan pada pukul 4 petang, manakala adiknya, Siti Nursalina Johari, 10, ditemukan 15 minit kemudian pada jarak 15 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Bapa mangsa menyatakan mereka enam sekeluarga datang ke pantai itu dari Ulu Tiram untuk aktiviti beriadah dan mandi-manda sempena cuti umum," katanya menerusi kenyataan malam ini.

Menurut Hussin, Balai Polis Kuala Sedili menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam menerusi MERS 999 pada pukul 3.57 petang.

Beliau berkata susulan itu, operasi mencari dan menyelamat dijalankan sepasukan anggota polis Kuala Sedili bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta orang awam yang berada di pantai itu.

Hussin menasihati orang ramai agar berhati-hati dan mengikuti perkembangan keadaan cuaca serta pasang surut air laut jika mahu melakukan aktiviti tepi pantai dan laut.

Katanya, orang ramai wajib mematuhi perintah larangan mandi-manda atau apa-apa aktiviti pantai dan laut sekiranya bendera merah dikibarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari dilaporkan berkata dua beradik perempuan ditemukan lemas di Pantai Tanjung Buloh dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.

-- BERNAMA