Dua beradik ditahan bantu siasatan kematian ibu

Bernama
November 10, 2015 07:47 MYT
Pemeriksaan pegawai perubatan terhadap mayat Yah mendapati adanya kesan bengkak pada belakang kepalanya, mulut dan hidungnya berdarah, kedua-dua mata dan tepi mulutnya lebam selain bibirnya bengkak. - Gambar hiasan
Polis menahan dua beradik berusia 25 tahun dan 22 tahun bagi membantu siasatan berhubung kematian ibu mereka di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras pada Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata Yah Wan Mat, 63, ditemui terbaring di ruang tamu selepas polis memecah masuk rumahnya pada kira-kira 3 petang Selasa, susulan aduan jirannya berhubung limpahan air dari pintu utama rumah itu.
Beliau berkata pemeriksaan pegawai perubatan terhadap mayat Yah mendapati adanya kesan bengkak pada belakang kepalanya, mulut dan hidungnya berdarah, kedua-dua mata dan tepi mulutnya lebam selain bibirnya bengkak.
Polis turut menemui dua anaknya, seorang lelaki dan seorang perempuan, yang merupakan penuntut universiti awam di dalam rumah itu, semasa memecah masuk kediaman keluarga itu, katanya di sini, pada Selasa.
"Pintu rumah berkenaan terpaksa dipecahkan dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat sebelum polis menemui mayat mangsa dan kedua-dua anaknya dalam rumah itu," katanya.
Mayatnya dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras untuk bedah siasat.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, seorang jiran di pangsapuri berkenaan, Basir Abdullah, 41, berkata Yah yang tinggal di Kelantan mengunjungi rumah anakya sejak Jumaat lepas untuk membawa berubat anak perempuannya itu yang dikatakan sering mengalami gangguan misteri.
Katanya, awal pagi tadi, beliau menerima panggilan daripada seorang lagi anak lelaki mangsa, pemilik rumah berkenaan yang meminta beliau menjenguk keadaan ibu dan adik-adiknya selepas panggilannya tidak dijawab.
Difahamkan, anak lelakinya itu pulang ke Kelantan untuk melawat neneknya yang sakit.
Basir berkata, beliau yang ketika itu berada di Seremban bergegas pulang dan sebaik tiba pada kira-kira 11.30 pagi, terus mengetuk pintu rumah mangsa berikutan melihat air melimpah keluar. Namun tiada sebarang reaksi diterima.
"Namun, dalam pukul 1.30 petang, saya terdengar orang meracau dan menendang pintu utama serta mencampakkan beberapa barang keluar dari tandas rumah berkenaan," katanya.
Katanya, beliau dan jiran yang lain bertindak menghubungi polis kerana berasa bimbang dengan keadaan berkenaan.
Basir berkata semasa polis tiba, anak perempuan mangsa berada di dalam bilik manakala seorang lagi anak lelakinya berada dalam keadaan tidak bermaya di sofa ruang tamu.
#dua beradik #kematian ibu #Yah Wan Mat #Zainuddin Ahmad
;