Dua beradik dipenjara sehari kerana mencuri
Bernama
Disember 24, 2012 15:01 MYT
Disember 24, 2012 15:01 MYT
Dua beradik dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barangan termasuk pakaian kanak-kanak di sebuah pusat beli belah tiga hari lepas.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Salmah Ismail, 42, dari Cheras di sini dan Hasnani Ismail, 41, dari Batu Caves, Selangor.
Mereka didakwa bersama-sama mencuri pelbagai pakaian kanak-kanak berjenama, satu set cadar katil dan peralatan menulis yang kesemuanya bernilai RM1,497.76.
Kedua-duanya yang juga ibu tunggal, didakwa melakukan kesalahan itu di Pasaraya AEON Taman Maluri, Cheras di sini pada 2.15 petang, 21 Dis lepas, mengikut Seksyen 380 Kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, Salmah berkata dia terpaksa melakukan kesalahan itu kerana desakan wang untuk menyara anak tunggalnya yang masih kecil manakala Hasnani turut menanggung lima anak yang bersekolah dan memerlukan perhatiannya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarulzaman manakala kedua-duanya tidak diwakili peguam.