Dua beradik dikhuatiri lemas selepas jatuh ke dalam sungai

Bernama
April 28, 2021 23:11 MYT
Dua beradik dikhuatiri lemas selepas terjerumus ke dalam sungai apabila motosikal ditunggang ibu mereka hilang imbangan semasa melalui jambatan gantung Kampung Rekoh, di Rompin hari ini. - Foto: Sinar Harian
KUANTAN: Dua beradik dikhuatiri lemas selepas terjerumus ke dalam sungai apabila motosikal ditunggang ibu mereka hilang imbangan semasa melalui jambatan gantung Kampung Rekoh, di Rompin hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin ASP Mohd Isa Bidin berkata operasi mencari Dhenis Maulida Puteri Masari yang berumur tujuh tahun serta adiknya Puteri Ramadhania Azzahra yang berumur tiga tahun yang hilang dalam kejadian pada pukul 11.15 pagi tadi sedang ditingkatkan.
Beliau berkata kejadian berlaku semasa ibu mereka yang hanya dikenali sebagai Liswati, 37, dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan itu selepas mengambil Dhenis Maulida Puteri yang selesai sesi pra-sekolah di Sekolah Kebangsaan Keratong 1.
"Motosikal yang ditunggang mereka dikatakan hilang imbangan kira-kira lima meter lagi hendak sampai ke tebing menyebabkan ketiga-tiga mereka terjatuh, dan dua mangsa yang masih kecil terus terjerumus ke dalam sungai.
"Terdapat jaring yang dipasang pada kiri dan kanan jambatan gantung itu tetapi difahamkan akibat kurang penyelenggaran, terdapat lubang besar di beberapa tempat sepanjang jambatan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Isa berkata jambatan itu sering digunakan penduduk setempat sebagai laluan pintas memandangkan jalan raya agak jauh, dan difahamkan ibu mereka terselamat dalam kejadian itu apabila dia tersangkut di jaring.
Katanya operasi mencari dan menyelamat kini dijalankan oleh 30 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
-- BERNAMA
#dua beradik #dikhuatiri lemas #jatuh sungai #Kampung Rekoh #Rompin #Kuantan #Dhenis Maulida Puteri Masari #Puteri Ramadhania Azzahra
;