Dua beradik dikhuatiri lemas di Sungai Jelai

Noraniza Kamsani
Februari 28, 2020 10:32 MYT
Operasi SAR yang dimulakan jam 6 petang Khamis terpaksa dihentikan satu jam kemudian kerana cuaca mulai gelap. - Foto ihsan bomba
Kegembiraan lima beradik beriadah di Sungai Jelai berakhir tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas dibawa arus deras di Taman Rekreasi Kampung Tanjung Gahai di sini, pada Khamis.
Mangsa Siti Nur Hidayah Mohd Rosli, 19 tahun, dan adiknya, Siti Suhaida, 15 tahun, dari Perumahan Agropolitan Gahai, Kuala Lipis, dikhuatiri lemas selepas bermandi-manda di sungai berkenaan kira-kira jam 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor berkata, mangsa dikatakan ke taman rekreasi di kampung itu bersama tiga lagi adik-beradik mereka.
"Kedua-dua mangsa dikatakan bermain di gigi air dan secara perlahan bergerak ke tengah sungai, sebelum dibawa arus deras,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azli berkata, polis dimaklumkan kejadian itu pada 6 petang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan serta-merta, bagaimanapun terpaksa dihentikan sekitar 7 petang kerana cuaca mulai gelap.
"Operasi SAR membabitkan empat pegawai bersama 20 anggota polis, bomba, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dibantu 20 penduduk kampung," katanya.
#Azli Mohd Noor #bomba #Kuala Lipis #lemas #lipis #mandi-manda #mangsa #Perumahan Agropolitan Gahai #polis #riadah #SAR #Sungai #Sungai Jelai #Taman Rekreasi Kampung Tanjung Gahai #tragedi
;