Dua beradik didakwa ragut, cederakan warga emas di Kota Bharu

Muhafandi Muhamad
Mac 8, 2018 16:12 MYT
Pasangan adik beradik berkenaan dengan salah seorang darinya penjawat awam didakwa di bawah seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. - Foto Astro AWANI
Dua lelaki yang juga pasangan adik beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas tuduhan meragut beg tangan seorang wanita warga emas di tepi jalan, Jalan Hamzah, 25 Februari lalu.
Kedua-dua tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, Mohd Shahrel Mat Esa, 33 tahun dan adiknya Mohammad Faris Mat Esa, 27 tahun didakwa telah merompak secara berkumpulan ke atas seorang warga emas, Wong Chui Ling, 72 tahun.
BACA: Penagih dua beradik guna kereta mentua ragut warga emas
Mereka kemudiannya didakwa telah mengambil beg tangan yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, dua kad ATM, wang tunai dan telefon bimbit sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM700 pada 25 Februari pada jam 11.55 pagi.
Pasangan adik beradik berkenaan dengan salah seorang darinya penjawat awam didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Mohammad Faris Mat Esa, 27 tahun turut dikenakan satu lagi pertuduhan iaitu merompak dan menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
Berdasarkan pertuduhan, pada hari dan masa yang sama, tertuduh telah melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada warga emas itu.
Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda atau sebatan.
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Hajarul Falena Abu Bakar dan sebutan semula kes pada 22 Mac ini.
Sebelum ini media melaporkan, dua suspek berkenaan ditahan dalam tempoh sejam selepas meragut beg tangan warga emas di Taman Limau Manis, Jalan Hamzah, jam 12 tengah hari.
Malah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa, berjalan kaki bersendirian ke kereta miliknya jenis Proton Saga selepas selesai makan di kedai berhampiran sebelum tba-tiba didatangi seorang lelaki dari arah belakangnya dan merentap beg tangannya.
Tindakan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera di kepala.
Kejadian itu juga menjadi tular dilaman sosial facebook, sebelum suspek berjaya ditangkap satu jam kemudian.
#CCTV #cedera #Kota Bharu #mahkamah #penjara #viral CCTV #wanita #warga emas
;