Dua beradik didakwa edar heroin lebih 40kg
Sinar Harian
Januari 19, 2023 12:11 MYT
Januari 19, 2023 12:11 MYT
KAMPAR: Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 40.13 kilogram (kg), minggu lalu.
Tertuduh, M Kumar, 46, dan adiknya, Govindasamy, 45, hanya mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan mahkamah daripada kedua-dua tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, dua beradik itu didakwa secara bersama mengedar dadah jenis heroin seberat 20.55kg di ruang tamu sebuah rumah di Taman Bandar Barat di sini sekitar jam 5 petang pada 9 Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengedar heroin seberat 19.585kg di bilik pertama rumah berkenaan pada waktu dan tarikh yang sama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Esther Jacyntha manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan kimia.
Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.
Media pada 11 Januari lalu melaporkan, satu serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah rumah teres di Kampar yang dijadikan makmal memproses dadah.
Dalam serbuan pada jam 4 petang itu, dua lelaki ditahan bersama 40.14 kilogram (kg) dadah disyaki heroin, kafein (11.05kg) dan cecair disyaki dadah (4kg) dengan nilai keseluruhan RM665,782.
Turut ditemukan di premis itu bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
Kedua-dua suspek yang tiada rekod kesalahan lampau itu disyaki aktif sejak mengedar sejak Disember lalu untuk pasaran sekitar negeri ini. - Sinar Harian