Dua beradik dari Sarawak sudah ada MyKad, tidak sabar kembali ke sekolah

Lynch Cowan
Ogos 19, 2022 18:26 MYT
Ketika ditemui Astro AWANI, Illa menitis air mata tanda gembira apabila prosedur untuk mendapatkan kad pengenalan untuknya kini selesai dan hanya menunggu tarikh untuk diambil.
KUCHING: Tiada lagi kegelisahan dapat dirasai buat dua adik beradik Illa Willy dan Ivy Willy untuk meneruskan persekolahan dengan dokumen yang sah.
Jelas terukir senyuman pada muka Illa 17 tahun apabila boleh kembali ke sekolah dan mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.
Ketika ditemui Astro AWANI, Illa menitis air mata tanda gembira apabila prosedur untuk mendapatkan kad pengenalan untuknya kini selesai dan hanya menunggu tarikh untuk diambil.
“Rasa sangat sedih apabila tak dapat macam orang lain... dapat pergi ke sekolah dengan hati yang senang. Apabila mengenangkan balik ketika diberhentikan sekolah, rasa sangat sedih.
“Tetapi apabila ada PPIS (Persatuan Pembangunan Insan Sarawak), yang sudi menolong kami sekeluarga, saya sangat bersyukur dan berterima kasih,” katanya ketika ditanya perasaan diberhentikan sekolah disebabkan tidak mempunyai dokumen pengenalan yang sah.
Illa dan adiknya, Ivy Willy pada ketika itu masing-masing di Tingkatan 4 dan 2 ketika tidak dibenarkan untuk meneruskan persekolahan kerana tidak mempunyai dokumen yang sah disebabkan ibu mereka merupakan bukan warganegara Malaysia.
Bagaimanapun, nasib mereka itu mendapat perhatian PPIS dengan mengusahakan pelbagai prosedur bagi mendapatkan hak sebagai warganegara di negeri Sarawak.
Bagi adiknya, Ivy 14 tahun dia teruja untuk meneruskan pembelajaran selepas setahun lebih tidak ke sekolah.
“Gembira kerana dapat kembali ke sekolah dan jumpa kawan-kawan kerana sudah setahun lebih tidak berjumpa disebabkan tak ada kad pengenalan. Saya mahu mengubah nasib keluarga, dan menjadi seorang guru," kongsi Ivy.
Sementara itu, Presiden PPIS Manjeet Kaur Sidhu berharap proses bagi mendapatkan kewarganegaraan perlu diperbaiki oleh pihak bertanggungjawab agar golongan yang mempunyai dokumen yang kukuh dapat berurusan dengan mudah.
“Proses untuk mendapatkan kewarganegaraan amat menyulitkan yang mana individu itu sendiri perlu pergi ke beberapa unit dan adakalanya mereka kena berulang alik melalui unit dan proses yang sama.
“Justeru, saya menggesa agar setiap unit dan bahagian di Jabatan Pendaftaran Negara dan Unit-unit lain mempunyai prosedur yang jelas agar tidak menyukarkan individu yang berhak mendapatkan kewarganegaraan,” tegasnya.
Malah, beliau mendedahkan masih ramai golongan senasib seperti ini yang dahagakan ilmu dan mahu mengubah nasib keluarga mereka tetapi terbantut ekoran prosedur menyulitkan.
Untuk rekod, ibu kepada kedua adik beradik itu merupakan warganegara Indonesia dan berkahwin bersama ayah mereka yang merupakan penduduk Sarawak.
#Tiada warganegara #remaja warganegara #mykad #remaja stateless
;