Dua beradik cedera, pokok tumbang hempap rumah, kenderaan di Selama

Abd Razak Mohd Ali
Mei 1, 2024 07:30 MYT
Sebatang pokok sebesar dua pemeluk tumbang menghempap rumah dan kenderaan dalam kejadian di Jalan Menteri, Selama, dekat Larut, petang semalam, mengakibatkan dua beradik cedera ringan. - Foto JBPM Perak
LARUT: Dua beradik cedera apabila rumah mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Menteri, Selama, dekat sini, petang semalam.
Mangsa, remaja lelaki berusia 13 tahun dan kakaknya berusia 15 tahun dikatakan berada di ruang tamu rumah mereka ketika kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian yang berlaku ketika hujan lebat disertai ribut turut menghempap sebuah kenderaan serba guna jenis Toyota Avanza dan sebuah motosikal.
Menurut beliau, pihaknya menerima penggilan mengenai perkara itu pada jam 4.17 petang.
“Kejadian melibatkan sebatang pokok bersaiz dua pemeluk yang tumbang menghempap sebuah rumah dan kenderaan.
“Terdapat dua mangsa yang mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Selama oleh ibu bapa mereka sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Sabarodzi, rumah kelas B berkeluasan 40 X 40 kaki persegi itu rosak 50 peratus di ruang tamu.
Katanya, pihaknya menjalankan kerja-kerja memotong pokok yang tumbang dan mengalihkannya bagi memastikan tiada lagi risiko.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Amir Hamzah Abdul Majid itu tamat jam 6.33 petang.
#Pokok tumbang #pokok hempap kereta #pokok hempap rumah #JBPM Perak
;