Dua belia negara bakal sertai Sidang Kemuncak Belia COP26
Bernama
September 15, 2021 08:19 MYT
September 15, 2021 08:19 MYT
KUALA LUMPUR: Sahana Kaur, 17, dan Mogesh Sababathy, 23, pencinta alam sekitar dari Malaysia akan menghadiri persidangan Youth4Climate: Driving Ambition di Milan, Itali dari 28-30 September.
Mereka adalah antara 400 belia dari seluruh dunia yang akan menghadiri sidang kemuncak itu, sebagai persediaan menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) anjuran United Kingdom (UK) dengan kerjasama Itali di Glasgow pada November.
"Perwakilan dijangka akan menhasilkan deklarasi belia dan terlibat dalam dialog dengan perunding dan menteri-menteri yang menghadiri Pra-COP, satu mesyuarat persiapan COP26, yang juga akan diadakan di Milan dari 30 September hingga 2 Oktober ini," menurut kenyataan bersama Kedutaan Itali dan Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur semalam.
Baru-baru ini melalui sidang video, Duta Itali ke Malaysia Cristiano Maggipinto dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia David Thomas turut mengucapkan tahniah kepada Sahana dan Mogesh.
Sahana, yang juga pelajar sekolah menengah berkata dia amat bersemangat untuk bekerjasama dengan belia dari seluruh dunia untuk bersama-sama membangunkan penyelesaian berkaitan isu iklim terutama daripada segi reformasi pendidikan iklim, pemulihan lestari dan menjadikan proses penilaian NDC lebih telus.
Sementara itu, Mogesh, lulusan biologi marin dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan kini calon PhD di Universiti Putra Malaysia (UPM), gembira dapat mengetengahkan suara belia Malaysia dan menggunakan peluang itu untuk berkongsi pandangan serta idea.
-- BERNAMA