Dua bekas pengasuh mengaku tidak bersalah dera bayi di taska

Bernama
September 24, 2024 16:07 MYT
Bekas pengasuh Wan Zaharah Wan Mahmud (dua kanan) dan Nuraihan Rozelan (dua kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Besut hari ini. - Foto Bernama
JERTIH: Dua bekas pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Besut di sini hari ini atas tuduhan mendera seorang bayi perempuan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Kampung Raja, di sini awal bulan ini.
Wan Zaharah Wan Mahmud, 50, dan Nuraihan Rozelan, 26, didakwa mencapai niat bersama telah menganiaya bayi perempuan berusia lebih kurang setahun itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal pada lengan sebelah kanan.
Perbuatan itu dilakukan pada 5 Sept lepas pada lebih kurang 9.45 pagi di Taska Sayangku Harma di Kampung Raja, dekat sini.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya dan dikenakan bon berkelakuan baik serta perintah khidmat masyarakat.
Hakim Ahmad Fadhli Mahmud membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Okt ini untuk sebutan semula kes.
Mahkamah juga mengarahkan kedua-dua wanita itu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi.
-- BERNAMA
#bekas pengasuh #mengaku tidak bersalah #mendera bayi perempuan #taska #Jertih #Wan Zaharah Wan Mahmud #Nuraihan Rozelan
;