Dua bekas pegawai kanan imigresen Perak mengaku tidak bersalah terima rasuah

Bernama
Mac 29, 2017 15:46 MYT
Zaidi didakwa memperoleh suapan itu di tempat letak kereta, Meru Valley Golf & Country Club di Ipoh, kira-kira 9.55 malam, 11 Nov 2015. Gambar hiasan
Bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, dua tahun lepas.
Tertuduh pertama, Zulhairin Yahya, 45, ketika bertugas sebagai Pengarah Jabatan Imigresen Perak didakwa cuba memperoleh suapan wang tunai RM10,000 setiap bulan daripada Nga Chee Jiek bagi memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas sebuah pusat hiburan dekat Seri Manjung.
Beliau yang kini berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya juga didakwa memperoleh suapan wang tunai RM4,000 daripada Nga melalui Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Perak, Zaidi Dali supaya tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas premis sama.
Dia didakwa meminta dan menerima wang suapan itu di Club House Meru Valley Golf & Country Club di sini masing-masing pada pukul 9 malam, 5 Nov 2015 dan 12.05 tengah malam, 12 Nov 2015.
Sementara itu, Zaidi, 49, didakwa cuba memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM10,000 setiap bulan daripada Nga bagi memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas pusat hiburan yang sama, kira-kira pukul 9 malam, 5 Nov 2015.
Zaidi yang kini bertugas sebagai Penolong Penguasa Jabatan Imigresen Perak juga didakwa memperoleh suapan wang tunai sebanyak RM7,000 daripada Nga untuk dirinya dan Pengarah Jabatan Imigresen Perak bagi memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas premis sama.
Dia didakwa memperoleh suapan itu di tempat letak kereta, Meru Valley Golf & Country Club di sini, kira-kira 9.55 malam, 11 Nov 2015.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin, manakala Zaidi diwakili peguam Zamri Idrus dan Fadly Hashim sementara Zulhairin diwakili Ahmad Zaidi Zainal.
Nurul Wahida menawarkan wang jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Hakim S.Indra Nehru kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain mengarahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 5 Mei untuk sebutan semula kesemua kes.
-- BERNAMA
#Imigresen Perak #pengarah imigresen #Rasuah #Zaidi Dali #Zulhairin Yahya
;