Dua bekas kakitangan JMB kondo bebas reman
Astro Awani
Februari 7, 2017 18:37 MYT
Februari 7, 2017 18:37 MYT
Bekas setiausaha dan bekas akauntan sebuah Badan Pengurusan Bersama (JMB) kondominium di ibu negara yang ditahan reman SPRM selepas dipercayai telah menyelewengkan wang kira-kira RM1.5juta daripada badan tersebut dibebaskan dari tahanan reman hari ini.
Kedua-dua suspek berusia 53 dan 37 tahun itu yang ditahan reman pada 1 Februari lepas dibebaskan di hadapan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahim di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 10.30 pagi.
Suspek berusia 53 tahun dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dan seorang penjamin manakala suspek berusia 37 tahun dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan dua orang penjamin.
Kedua-duanya yang disiasat mengikut seksyen 18 Akta SPRM 2009 dikehendaki melaporkan diri di Pejabat SPRM setiap bulan.
Mereka dipercayai telah melakukan penyelewengan tersebut sejak tahun 2010.
Pengarah Bahagian Operasi Khas Datuk Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Katanya, SPRM masih dalam proses mengumpul lebih banyak maklumat berhubung siasatan kes itu untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.