Dua bekas anggota polis terlepas hukuman gantung, diganti dengan penjara
Bernama
April 30, 2024 17:07 MYT
April 30, 2024 17:07 MYT
PUTRAJAYA: Dua bekas anggota polis terlepas hukuman gantung selepas panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati yang dikenakan terhadap mereka, dengan hukuman penjara 40 tahun bagi kesalahan membunuh seorang mekanik Indonesia 18 tahun lepas.
Panel yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, membenarkan permohonan semakan oleh Ailias Yahya dan Saiful Azlan Shah Abdullah di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Kedua-dua mereka yang dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan tiga bulan, diperintah menjalani hukuman penjara bermula dari penahanan mereka pada 22 Jan 2006.
Mahkamah sebelum ini menolak permintaan timbalan pendakwa raya Tetralina Ahmed Fauzi untuk mengekalkan hukuman mati ke atas dua bekas anggota polis itu kerana kes mereka termasuk dalam kategori yang jarang sekali ditemukan.
Tetralina memberitahu mahkamah bahawa arwah Yusrizal Yusuf, 38, berada di bawah kawalan penuh kedua-dua lelaki itu pada setiap masa, sejak dia ditahan sehingga kematiannya.
Tetralina berkata Yusrizal ditembak "secara hukuman kejam" (execution style) apabila dia dibawa ke kawasan padang yang lapang di KM22, jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor-Batu Arang, digari dan disuruh melutut, sebelum Saiful Azlan melepaskan tiga das tembakan ke kepalanya dari jarak dekat, manakala Ailias berdiri di hadapan Yusrizal.
Peguam Muhammad Fadhli Sutris yang mewakili Ailias dan Saiful Azlan bagaimanapun menggesa mahkamah memberikan peluang kedua kepada anak guamnya itu, kerana Ailias menghidap penyakit kronik dan berkerusi roda manakala Saiful Azlan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) beberapa kali.
Beliau berkata Ailias yang telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia sejak 1976 dan Saiful Azlan sejak 1982, telah menyesal dengan tindakan mereka dan memohon ihsan daripada mahkamah kerana mereka ingin bertemu dengan ahli keluarga.
Ailias, 70, bekas Koperal dan Saiful Azlan, 60, bekas Lans Koperal dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2011 kerana membunuh Yusrizal di Ladang Caledonia KM22 antara 10 malam dan 11.30 malam pada 13 Jan 2006.
Mengikut fakta kes, mekanik itu didakwa menjalin hubungan sulit dengan isteri seorang lelaki yang kemudiannya membuat laporan polis selepas mekanik itu mengugutnya.
-- BERNAMA