Dua bapa kandung didakwa cabul, rogol anak bawah umur

Adie Sufian Zulkefli
Januari 4, 2018 18:17 MYT
Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram ke atas anak perempuan masing-masing di Jeneri dan Kuala Ketil pada tahun lalu. -Astro AWANI
Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram ke atas anak perempuan masing-masing di Jeneri dan Kuala Ketil pada tahun lalu.
Tertuduh pertama berusia 49 tahun yang hanya berkain pelikat dan berbaju kemeja T berwarna merah berdepan dua pertuduhan.
Tertuduh kedua berusia 59 tahun yang berkemeja T berwarna jingga dan berketayap putih pula dihadapkan dengan satu pertuduhan jenayah seksual.
Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh pertama yang bertugas sebagai buruh didakwa merogol anak kandungnya yang berusia 13 tahun di sebuah rumah di Mukim Jeneri, Sik, dekat sini pada 20 Disember tahun lalu jam 10 malam.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa meletak dan menggosok kemaluannya pada kemaluan anak kandungnya yang berusia 13 tahun itu di sebuah rumah di kawasan sama seperti pertuduhan pertama pada 22 Disember tahun lalu jam 9 malam.
Bagi tertuduh kedua pula, dia didakwa melakukan persetubuhan dengan anak kandungnya yang berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kuala Ketil, Baling pada 21 Disember tahun lalu jam 1 pagi.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh pertama dan kedua didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh pertama juga turut berdepan dakwaan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 untuk pertuduhan kedua yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.
Prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Savinder Singh manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Priscilla kemudian memerintahkan tarikh sebutan semula kes berkenaan dilakukan pada 6 Februari ini untuk tertuduh pertama, manakala 5 Februari bagi tertuduh kedua untuk lantikan peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Kedua-dua tertuduh juga turut tidak dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah kerana mengambil kira keselamatan saksi yang tinggal serumah dengan tertuduh.
#gosok kemaluan #jenayah seksual #Mahkamah Sesyen #Priscilla Hemamalini #rogol anak kandung #Savinder Singh #sumbang mahram #Sungai Petani #Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan
;