Dua balu kenang peristiwa berdarah Simunul
Siti Zubaidah Abdullah
Februari 13, 2014 13:04 MYT
Februari 13, 2014 13:04 MYT
Pada 11 Feb, 2013 satu kumpulan bersenjata dari Selatan Filipina tiba di Kampung Tanduo di Lahad Datu untuk menuntut Sabah bagi pihak Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu.
Selepas rundingan untuk menamatkan pencerobohan itu gagal, pada 1 Mac 2013 berlaku kejadian tembak menembak di Kampung Tanduo dengan dua anggota polis terbunuh. Pada hari berikutnya enam anggota polis terbunuh dalam satu serangan hendap di Kampung Sri Jaya, Siminul di Semporna.
Pada 5 Mac Ops Daulat dilancarkan yang berjaya menumpaskan musuh dan jumlah angka kematian adalah 59 di pihak pengganas Sulu dan sembilan di pihak pasukan keselamatan negara.
Sementara rakyat dan negara bangga dan menghargai pengorbanan anggota pasukan keselamatan, kehilangan mereka dirasai keluarga dan yang tinggal hanya kenangan akan wira-wira itu.
MENITI KEHIDUPAN TANPA SUAMI
Siti Bandorah Mahali, 40, kini meniti kehidupan sehari-hari dengan tabah selepas suaminya Allahyarham Sjn Abdul Azis Sarikon terbunuh dalam serangan hendap di Siminul pada 2 Mac 2013.
Beliau berkata kehidupannya setahun bersama anak-anak kini sudah bertukar dengan beliau mengambil alih peranan bapa bagi membesarkan keempat-empat cahaya matanya.
"Jika dahulu bila sakit suami yang uruskan anak, sekarang kalau sakit pun kena fikir budak-budak. Saya kena jaya kesihatan demi anak-anak saya," katanya kepada BERNAMA ketika ditemui di kediamannya, di sini baru-baru ini.
Menceritakan kehidupannya setahun pemergian arwah suami tercinta, Siti Bandorah sentiasa menyibukkan diri menguruskan anak-anak dengan menghantar dan mengambil mereka dari sekolah selain menghabiskan masa mengunjungi rumah ibunya pada waktu siang.
KELAINAN PADANYA JELAS
Menceritakan detik-detik ketika mengetahui berita kematian suami dalam tragedi berdarah itu, beliau menerima panggilan terakhir arwah pada pukul 5.30 petang yang memintanya menjemput anak saudara di pekan Semporna kerana perlu menyertai satu operasi di Simunul.
"Abang sudah biasa ikut operasi tetapi beliau beritahu operasi kali ini tidak tahu bila habis. Semasa berada di pekan, saya dengar berlaku tembakan di Simunul dan saya terus menelefon abang dan panggilan tidak disambut sampai ke pagi," katanya.
Dalam nada sebak berkongsi cerita mengenangkan kenangan manis bersama arwah, beliau menyedari perubahan arwah suaminya itu sejak November 2012 ketika pulang ke kampung halaman suami di Johor.
"Ketika sebulan lebih di kampung (Johor) beliau tidak jalan dan bermalam di rumah enam adik-beradiknya seperti biasa tetapi dia duduk di rumah hendak tengok ibu sihat sahaja. Selepas balik sini (Semporna) beliau sempat bawa kami sekeluarga bercuti di Kunak pada Januari dan ke Tawau semasa cuti Tahun Baharu Cina," katanya.
SITI TIDAK SANGGUP KE KAMPUNG SRI JAYA
Ditanya beliau pernah melawat Kampung Sri Jaya selepas kejadian itu, Siti Bandorah berkata; sebelum ini ada pergi melawat anggota keluarga di sana tetapi selepas kejadian tidak sanggup pergi.
"Kalau saya lalu hanya di bahagian jalan raya sahaja...saya tidak akan tengok rumah-rumah di situ".
Sambil mengakui belum 'kuat semangat' untuk menyaksikan tempat yang meragut nyawa suaminya itu, beliau menceritakan anak bongsunya Mohammad Aiman Hakimi adalah insan yang sentiasa bertanyakan tentang kehilangan arwah bapanya.
Anak bongsunya itu bercita-cita menjadi komando seperti arwah bapanya.
Anak keduanya, Nurul Liyana yang kelihatan masih dalam kemurungan ditanya mengenai kehilangan arwah hanya mengeluarkan kata-kata: "Terasa amat sunyi apabila ayah sudah tiada, bagus lagi kalau ayah ada.
Allahyarham Abd Azis, dari Batalion 14 Pasukan Gerak Am (PGA) Semporna yang telah berkhidmat sejak tahun 1990 meninggalkan isteri Siti Bandorah dan empat cahaya mata Mohd Faridzulhelmy, 19; Nurul Liyana, 16; Nurul Syazwani, 13, dan Mohammad Aiman Hakimi, 9.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 2, Jalan Bunga Raya, di sini.
TIADA APA YANG BOLEH MENGGANTIKAN SUAMINYA
Sementara itu, bagi balu Koperal Salam Togiran, Marlina Utan turut berkongsi kesedihan menjadi balu.
"Semasa isi borang saya menitis air mata apabila menyatakan status saya sebagai balu, ini sudah takdir saya sampai jadi balu di usia muda," katanya.
Marlina, 39, berasal dari Sandakan, berkata sekiranya diberi pilihan antara suami dengan ganjaran dan sumbangan daripada pihak kerajaaan, beliau memilih arwah suami untuk meniti kehidupan bersama anak-anak kerana 'orang itu tiada silih ganti'.
Mengimbas peristiwa hampir setahun lepas itu, Marlina berkata arwah suami dipanggil bertugas di Semporna selepas 10 hari mengikuti operasi di Lahad Datu.
Kata-kata arwah suami yang beliau sanggup 'mati' seperti dua anggota VAT 69 yang terkorban dalam serangan hendap awal di Lahad Datu masih terngiang-ngiang di benak telinga.
"Semasa arwah hendak bertolak, dia lain sangat tidak mahu pandang wajah saya, saya balik-balik kejar mahu salam tetapi dia tidak mahu pandang wajah seperti berat hati.
"Arwah sempat berpesan supaya menjaga anak-anak dan memeluk kami semua," katanya ketika ditemui BERNAMA di kediamannya di Taman Bandar Sri Indah, Tawau.
DETIK-DETIK AKHIR RIWAYAT SALAM
"Hari Sabtu (2 Mac) petang, arwah panggil minta doakan keselamatannya kerana mahu pergi ke kawasan hitam. Saya terkejut kerana sebelum ini beliau selalunya berani dan memesannya supaya berhati-hati kerana ada orang sayang menunggu di rumah," katanya.
"Pada malam kejadian saya mengikuti majlis tahlil dan solat hajat di masjid. Tepat pukul 8 malam, saya mendapat tahu ada serangan tembakan di Semporna. Gerak hati saya berkata itu mesti kawasan yang suami saya kata hendak pergi," katanya yang meraung selepas mengetahui berita kematian suami.
Marlina masih menyimpan mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir arwah yang mengatakan 'Alhamdulilllah sihat' dan berkata tragedi berdarah Simunul meninggalkan kesan hitam padanya. Apatah lagi beliau tidak dapat meratapi wajah suaminya buat kali terakhir atas nasihat pihak pasukan polis dan doktor yang melakukan bedah siasat.
Marliana memberitahu penulis yang beliau membawa anak-anak menziarahi pusara arwah di Tanah Perkuburan Islam Batu 16 setiap hari Jumaat dan hari kelahiran anak-anaknya.
MASIH MERINDUI BAPA
"Dalam setahun ini, anak bongsu selalu tanya pasal ayahnya, dia kenal dan tengok video ayahnya di telefon. Rindu tetap rindu...malah bertambah rindu. Saya redha dengan takdir ini demi anak-anak agar mereka berjaya dalam pelajaran," katanya yang sering berhubung dan berkongsi masalah dengan balu-balu anggota keselamatan tragedi berdarah Simunul terutama Siti Bandorah.
Allahyarham Salam merupakan anak tempatan tunggal dari Sandakan yang terkorban dalam tragedi itu, berkhidmat dalam pasukan polis Cawangan Khas Tawau meninggalkan isteri Marlina dan empat cahaya mata Mohd Sazreen,16; Mohd Azizie, 14; Umie Alia Aulia, 12, dan Umie Amira Umairah, 2 tahun enam bulan.
Allahyarham Abd Azis dan Salam dan anggota polis lain yang maut dalam insiden serangan hendap di Siminul dinaikkan pangkat. Mereka yang lain adalah Allahyarham Supt Ibrahim Lebar, 52, dan Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, 27, Supt Micheal Padel, 36, dan Sarjan Baharin Hamid, 49.
Sempena hampir setahun peristiwa berdarah ini berlalu, marilah kita menyedekahkan surah Al-Fatihah agar Allah mencucuri rahmat ke atas mereka yang terkorban dan berjasa pada negara itu. Al-Fatihah. -- Bernama