Dua aset Petronas dirampas Waris Kesultanan Sulu - Laporan

Agensi
Julai 12, 2022 17:06 MYT
Rampasan dua aset itu turut dilaporkan Go Tech India yang dalam laporannya menyatakan kes itu disifatkan oleh pakar sebagai salah satu prosiding timbang tara yang luar biasa yang pernah berlaku dalam sejarah. - Laporan Go Tech India
WARIS Kesultanan Sulu yang dikatakan melakukan tuntutan berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada Malaysia dilaporkan telah merampas aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan.
Memetik laporan Financial Times, peguam pihak yang menuntut telah merampas aset syarikat petroleum itu yang didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus.
Menurut laporan itu juga, nilai kedua-dua aset berkenaan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.87 bilion).
BACA: Kerajaan tidak iktiraf tuntutan RM62.59 bilion waris Sultan Sulu
Peguam yang mewakili waris kesultanan itu dilaporkan berkata, bailif di Luxembourg merampas syarikat berkenaan bagi pihak pelanggan mereka.
Difahamkan juga, tindakan itu merupakan sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan waris Sulu pada 2017 untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat British pada 1878.
BACA: Tuntutan waris Sultan Sulu: Malaysia akan hantar nota diplomatik kepada 168 negara
Setakat ini, Astro AWANI masih menunggu maklum balas daripada pihak Petronas berhubung perkara tersebut.
Rampasan dua aset itu turut dilaporkan Go Tech India yang dalam laporannya menyatakan kes itu disifatkan oleh pakar sebagai salah satu prosiding timbang tara yang luar biasa yang pernah berlaku dalam sejarah.
Laman web berita Sepanyol La Información pada Mac lepas melaporkan penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris sultan Sulu itu sekurang-kurangnya RM62.59 bilion.
Kedaulatan Sabah | Filipina, waris Sulu tiada hak buat tuntutan
Menurut Dr Stampa, Malaysia mempunyai tiga bulan untuk membayar pampasan itu atau berisiko membayar faedah, melainkan anugerah tersebut dibatalkan.
Begitupun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tuntutan Waris Kesultanan Sulu itu adalah terbatal selepas Mahkamah Madrid pada 29 Jun 2021 membatalkan pelantikan Penimbang Tara yang menguruskan tuntutan itu.
Tuntutan Sulu | Malaysia fail permohonan batal 'final award'
Mahkamah sama juga turut memutuskan Partial Award on Jurisdiction yang dikeluarkan Penimbang Tara tersebut, Gonzalo Stampa bertarikh 25 Mei 2021 adalah terbatal.
Menurutnya, berdasarkan keputusan tersebut, berkata, semua tindakan dan keputusan yang dibuat Stampa adalah terbatal.
#Waris Kesultanan Sulu #Petronas #rampas aset #Sabah
;