Dua aset Brunei sertai pencarian enam mangsa bot karam

Bernama
Januari 30, 2017 15:00 MYT
Sebahagian keluarga pelancong dari China tidak dapat menahan kesedihan ekoran kejadian bot karam jenis Catamaran ketika berkumpul di Hospital Queen Elizabeth awal pagi tadi. - Foto Bernama
Dua aset Brunei menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam mangsa bot karam yang masih hilang sejak Sabtu lepas.
Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini, helikopter S92 milik pihak berkuasa Brunei dan kapal Tentera Laut Diraja Brunei KDB Bakti, membantu pencarian mangsa di perairan negara itu.
"Luas sektor pencarian kini meliputi 2,400 batu nautika persegi," kata kenyataan itu.
Pada asalnya, kawasan pencarian meliputi 400 batu nautika persegi meningkat kepada 1,400 batu nautika persegi selepas 25 mangsa ditemui di perairan Semarang, dekat Labuan, semalam.
Pada hari ketiga operasi SAR, lima kapal (KM Adil, KM Berani, KM Mabul, Kilat 40 dan Kilat 23) dua pesawat -- Bombardier dan AW139 milik APMM terlibat dan empat kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (KD Ganas, KD Serang, CB 203 dan CB 204) serta sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia C130.
SAR itu turut membabitkan empat kapal pasukan Polis Marin (PA 12, RH 29, RH 51 dan PSC 1) dan dua pesawat pasukan Gerakan Udara iaitu 9M-PHH dan 9M-PHK.
Bot jenis katamaran itu yang membawa tiga anak kapal dan 28 pelancong dari China dipercayai karam disebabkan angin kencang dan ombak besar pada 10 pagi Sabtu, sejam selepas mereka meninggalkan jeti Tanjung Aru di sini menuju Pulau Mengalum, destinasi pelancong kira-kira 56 kilometer di barat laut Kota Kinabalu.
Semalam, 20 pelancong warga China diselamatkan di perairan Semarang dekat Labuan, manakala tiga lagi pelancong China terkorban dalam tragedi itu.
-- BERNAMA
#bot Catamaran karam #kru bot #Pelancong China #Ramli Din #tekong
;