Dua artis Indonesia ditahan, disyaki jadi pelacur online
Bernama
Januari 6, 2019 19:20 MYT
Januari 6, 2019 19:20 MYT
Dua artis wanita Indonesia dipercayai terbabit dalam pelacuran secara dalam talian ditahan di Surabaya pada Ahad.
Menurut agensi berita Antara, kedua-dua artis itu yang dikenali sebagai Vanessa Angel dan "AF" ditahan selepas pihak polis mengesan berlakunya transaksi pembayaran untuk aktiviti tidak bermoral itu.
Ketua Polis Jawa Timur, Arman Asmara dipetik berkata mereka yang ditahan ialah empat saksi, dua artis iaitu Vanessa dan "AF" dan tiga lagi yang dipercayai terbabit dalam urusan aktiviti itu.
"Kami melakukan siasatan melalui media sosial dan diketahui kegiatan tersebut dilakukan di sebuah hotel di Surabaya.
"Tarifnya yang satu Rp80 juta (RM23,164), satu lagi Rp25 juta (RM7,238)," kata Arman.
Sementara itu, pengurus kepada Vanessa Angel iaitu Lidya berkata beliau tidak pernah mengetahui artis itu terbabit dalam aktiviti pelacuran online.
"Vanessa ke Surabaya untuk menjadi pengacara dalam satu majlis di sana," katanya.