Dua anggota trafik disiasat lakukan pemerasan - Polis Johor
Siti Nur Aqilla Omar
Mac 14, 2024 13:58 MYT
Mac 14, 2024 13:58 MYT
JOHOR BAHRU: Polis Johor menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular tindakan anggota polis trafik didakwa melakukan pemerasan terhadap warga Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, 10 Mac lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pihaknya mengesan video tular di media sosial Facebook dimuat naik penama Irene Teo dalam halaman Sage, semalam.
“Hantaran video tersebut turut diulas melalui artikel yang dimuat naik oleh laman sesawang Mothership bertarikh 11 Mac.
“Melalui hantaran yang tular, dipercayai penama Irene Teo telah diarahkan untuk membayar wang sejumlah SGD142 (RM499.40) kepada kedua-dua anggota polis trafik di BSI itu bagi mengelakkan tindakan saman diambil.
“Saman tersebut dikeluarkan atas kesalahan masuk ke laluan lori di kawasan pemeriksaan 8A arah Johor Bahru ke Singapura pada 10 Mac lalu sekitar jam 8.15 malam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
M Kumar berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.
Bagaimanapun, Kumar berkata, setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan dibuat oleh mangsa berhubung insiden tersebut.
“Permohonan rasmi dibuat ke Pejabat Konsulat Singapura di Johor Bahru untuk mengesan pemilik akaun Facebook Sage dan penama Irene Teo untuk membantu siasatan,” katanya.
Tegas beliau, pihaknya amat komited dalam usaha memerangi masalah intergriti serta salah laku jenayah dalam kalangan pegawainya.
“Mana-mana pegawai yang dipercayai melakukan jenayah akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi berlandaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.