Dua anggota polis, peniaga dipenjara, sebat kerana rompak wanita
Bernama
Januari 10, 2018 21:49 MYT
Januari 10, 2018 21:49 MYT
Dua anggota polis dan seorang peniaga masing-masing dijatuhi hukuman penjara 11 dan 13 tahun serta sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita, dua tahun lalu.
Hakim Nazri Ismail membuat keputusan itu selepas ketiga-tiga tertuduh didapati bersalah selepas gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Tertuduh pertama, Konstabel Adri Hazwan Ahmad, 29 dikenakan hukuman penjara 11 tahun dan empat sebatan manakala Lans Koperal Mohamad Fauzi Ariffin, 27, dikenakan hukuman penjara 13 tahun enam sebatan.
Seorang lagi tertuduh, yang merupakan abang Mohamad Fauzi iaitu Mohd Fairuz, 30, dihukum penjara selama 13 tahun dan enam sebatan atas kesalahan sama.
Kesemua tertuduh, yang diwakili peguam Zuhaidi Akmal Hasan Basri, didapati bersalah melakukan rompakan berkumpulan ke atas Rahmah Omar, 55, dengan mengambil wang tunai berjumlah RM3,050.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat Lot 589, Kampung Tanjong Badang di sini, pada 18 Mac 2016 pada jam 11.15 malam, dan dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Zuhaidi Akmal, dalam rayuannya, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan ia merupakan kesalahan pertama yang dilakukan oleh anak guamnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falena Abu Bakar memohon hukuman setimpal memandangkan dua daripada tertuduh merupakan anggota polis yang sepatutnya melindungi orang awam.
-- BERNAMA