Dua anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah
Adie Sufian Zulkefli
Julai 14, 2022 16:03 MYT
Julai 14, 2022 16:03 MYT
ALOR SETAR: Dua anggota polis berpangkat Sarjan Mejar dan Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu sejurus semua pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa di depan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan pertama ke atas Faudzi Mat Desa, 58, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 4 terhadap empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM900 yang didakwa dilakukannya enam tahun lalu.
Faudzi yang bertugas di Balai Polis Mahang didakwa menerima RM250 bagi setiap pertuduhan pertama, ketiga dan keempat manakala untuk pertuduhan kedua dia didakwa menerima rasuah berjumlah RM150.
Semua kesalahan didakwa dilakukan pada 15 April 2016, 12 Mei 2016, 8 Jun 2016 dan 11 Mac 2016 pada 7.15 petang, 5.36 petang, 9.35 malam serta 12.51 tengah hari.
Bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, kesalahan itu didakwa dilakukan di Kedai Makan Serk Heang di Pekan Mahang manakala untuk pertuduhan keempat, kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah warung makan tidak bernombor di persimpangan jalan menghala ke Ulu Mahang.
Selain itu, Faudzi turut berdepan satu lagi pertuduhan bersama bekas Ketua Balai Polis Mahang, Sarjan Mejar Ahmad Ibrahim, 62.
Kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama menerima rasuah berjumlah RM550 di sebuah restoran dekat Taman Mutiara, Sungai Kob dalam daerah Kulim jam 8.43 malam pada 1 Julai 2016.
Ahmad Ibrahim juga turut berdepan satu lagi pertuduhan menerima suapan berjumlah RM300 yang didakwa dilakukan pada 25 Julai 2016 di Kedai Makan Cucur Udang tepi jalan Sungai Kob menuju ke Mahang dekat Sungai Karangan, Kulim pada 12.56 petang.
Semua wang suapan didakwa diterima daripada seorang lelaki yang kini berusia 53 tahun, sebagai dorongan untuk mereka tidak mengeluarkan saman terhadap lori-lori milik seorang individu lain.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, CP Ang.
Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin untuk semua kes dihadapi Faudzi manakala Ahmad Ibrahim dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM12,000, juga dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 1 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.