Dua anggota polis maut diserang lelaki bertopeng di Balai Polis Ulu Tiram

Siti Nur Aqilla Omar
Mei 17, 2024 09:50 MYT
Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru diserang awal pagi ini menyebabkan dua anggota polis meninggal dunia dan seorang cedera.
JOHOR BAHRU: Dua anggota polis maut dan seorang lagi cedera selepas diserang oleh seorang lelaki bertopeng dalam kejadian di Balai Polis Ulu Tiram, di sini, awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian sekitar 2.54 pagi itu, suspek yang bersenjatakan pistol dan parang turut dilaporkan mati ditembak dilokasi kejadian.
Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Susulan itu, polis merampas sepucuk pistol Walther P99 dan Selaras HK MP5 daripada suspek.
Anggota polis yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut, manakala yang maut dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasatan.
Sementara itu, Astro AWANI difahamkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sedang dalam perjalanan menuju ke Balai Polis Ulu Tiram.
#dua anggota polis maut #Balai Polis Ulu Tiram #suspek maut #ditembak
;