Dua anggota polis IPD Kajang didakwa peras ugut warga asing ditahan reman
Umavathi Ramayah
Julai 29, 2024 15:40 MYT
Julai 29, 2024 15:40 MYT
KUALA LUMPUR: Dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang ditahan reman dua hari bermula Isnin berhubung kes peras ugut yang melibatkan seorang lelaki warga asing, pada tengah hari Ahad.
Kejadian yang dipercayai berlaku di Jalan Taming Sari, di sini itu tular di media sosial sejak Ahad.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dibuat lelaki warga negara asing berhubung satu video tular memaparkan kejadian pemerasan itu.
"Hasil semakan video yang tular itu membawa kepada penahanan terhadap dua anggota polis yang bertugas di IPD Kajang dan sehubungan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Hussein menambah, jika disabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Beliau menegaskan polis tidak akan melindungi mana-mana pihak sama ada pegawai kanan atau anggota rendah jika didapati terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah.
"Kita tidak akan berkompromi dan siasatan akan dijalankan sepenuhnya mengikut undang-undang," katanya.
Sebelum ini tular di platform Telegram, dua video memaparkan dua anggota polis yang menunggang motosikal memeras ugut lelaki warga asing.