Dua anggota polis ditahan, disyaki lakukan peras ugut

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 18, 2019 22:09 MYT
Kedua-dua anggota polis yang ditahan itu akan direman esok untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Padah memeras ugut seorang pemandu lori, dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel ditahan dalam kejadian di Lorong Hijau 3, Jelutong, Pulau Pinang pada Sabtu.
Kedua-dua anggota polis yang berusia 28 dan 25 tahun itu ditahan pada Ahad susulan aduan daripada pemandu lori tersebut yang mendakwa mereka telah meminta RM2,000 untuk menyelesaikan kes judi haram membabitkannya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pemandu lori itu mendakwa dia telah ditahan kedua-dua anggota polis tersebut ketika sedang menunggang motosikal di Lorong Hijau 3, Jelutong kira-kira jam 10 pagi .
Menurut laporan,mangsa mendakwa, anggota polis berkenaan memintanya untuk hadir ke Balai Polis Jelutong kerana disyaki menjalankan kerja menulis judi ekor haram.
Bagaimanapun, mangsa menafikan dia terlibat dengan kerja berkenaan lalu dua anggota polis tersebut meminta dia menyerahkan RM2,000 sebagai jaminan kes itu akan diselesaikan.
Menurut Che Zaimani anggota polis berkenaan telah meminta pemandu lori itu pergi ke bank untuk mengambil wang seperti yang diminta.
Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan hanya mempunyai RM400 di dalam bank dan dia telah menyerahkan wang tersebut kepada salah seorang anggota polis terbabit.
Pemandu lori berkenaan juga telah menyerahkan dompet serta telefon bimbit kepada anggota polis itu.
Tambahnya, kedua-dua anggota polis yang ditahan itu akan direman esok untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
#Balai Polis Jelutong #judi ekor haram #konstabel #lans koperal #Lorong Hijau 3 #pemandu lori #peras ugut #Polis Daerah Timur Laut #Seksyen 384 Kanun Keseksaan
;