Dua anggota polis disyaki lakukan peras ugut direman
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 19, 2019 19:30 MYT
Ogos 19, 2019 19:30 MYT
Dua anggota polis berpangkat Konstabel dan Lans Koperal direman selama sehari bagi membantu siasatan kes peras ugut seorang pemandu lori.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret George Town, Muhammad Azam Md Eusoff pada Isnin.
Kedua-dua suspek berusia 25 dan 28 tahun itu ditahan di Balai Polis Jelutong, pada Ahad dan dibawa ke mahkamah kira-kira jam 10.30 pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata siasatan lanjut sedang dilakukan dan jika didapati benar dakwaan tersebut, kedua-duanya mungkin akan dituduh di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pada Sabtu, anggota polis berkenaan ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 32 tahun yang mendakwa diperas ugut oleh mereka.
Kedua-dua anggota tersebut melakukan perbuatan itu di Lorong Hijau 3, Jelutong di sini pada kira-kira jam 10 pagi.
Menurut laporan, mangsa mendakwa anggota polis berkenaan memintanya untuk hadir ke Balai Polis Jelutong kerana disyaki menjalankan kerja menulis judi ekor haram.
Bagaimanapun, mangsa menafikan dia terlibat dengan kerja berkenaan lalu dua anggota polis berkenaan meminta dia menyerahkan RM2,000 sebagai jaminan kes itu akan diselesaikan.
Anggota polis berkenaan telah meminta pemandu lori itu pergi ke bank untuk mengambil wang seperti yang diminta.
Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan hanya mempunyai RM400 di dalam bank dan dia telah menyerahkan wang tersebut kepada salah seorang anggota polis terbabit.
Pemandu lori berkenaan juga telah menyerahkan dompet serta telefon bimbit kepada anggota polis berkenaan.
Bagaimanapun dia membuat laporan polis semalam selepas dinasihati oleh keluarga dan rakan-rakan.
#Balai Polis Jelutong
#direman
#dua anggota polis
#konstabel
#lans koperal
#Lorong Hijau 3
#Mahkamah Majistret George Town
#peras ugut pemandu lori
#Polis Daerah Timur Laut
#polis peras ugut
#Seksyen 384 Kanun Keseksaan