Dua anggota polis cedera tertimbus ketika lakukan tugasan musnah bom

Bernama
Ogos 27, 2024 23:19 MYT
Ketua Polis Johor CP M Kumar ketika dihubungi memaklumkan satu kenyataan akhbar akan dikeluarkan dalam masa terdekat. - Gambar fail
KLUANG: Dua anggota polis dilaporkan cedera parah dipercayai tertimbus ketika menjalankan tugas pemusnahan bom di tapak perumahan Jalan Tabah, Taman Sri Lambak, di sini kira-kira 3 petang tadi.
Dua anggota daripada Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu kini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini untuk rawatan kecemasan.
Kedua-dua anggota yang terbabit dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai Koperal Abd Halim Zainal dan Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary.
Mereka dipercayai mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan dan berada di zon merah hospital berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Johor CP M Kumar ketika dihubungi memaklumkan satu kenyataan akhbar akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
--BERNAMA
#polis #cedera parah #musnah bom #Unit Pemusnah Bom #Kluang
;