Dua anggota polis antara empat ditahan bantu siasatan tahanan mati dalam lokap
Bernama
Januari 14, 2022 22:38 MYT
Januari 14, 2022 22:38 MYT
KUALA LUMPUR: Dua anggota polis antara empat individu ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang tahanan di dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Perak.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan telah diarah untuk melakukan siasatan terhadap kejadian itu pada hari kejadian.
Beliau berkata hasil siasatan turut membawa kepada penahanan dua Orang Kena Tuduh (OKT) lain.
"Oleh itu, kesemua mereka direman di Mahkamah Majistret Taiping selama tujuh hari hingga 20 Jan depan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Semalam, polis mengesahkan seorang OKT lelaki warga tempatan mati mengejut dalam tahanan di sebuah lokap di IPD Taiping.
OKT berusia 63 tahun itu merupakan tahanan tumpang dari Penjara Taiping.
-- BERNAMA