Dua anggota PGA tunjuk keberanian sangat hebat- KP Perlis
Abd Hadi Che Awang
November 24, 2020 18:10 MYT
November 24, 2020 18:10 MYT
PADANG BESAR: Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad menyifatkan tindakan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 bertempur dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand, di Padang Besar awal pagi tadi, sebagai sangat berani.
Katanya, tindakan mereka itu juga berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan ketum dan ubat batuk.
Jelasnya, dalam kejadian sekitar jam 3.10 pagi pada Selasa itu telah mengakibatkan Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari, 39, parah terkena tembakan pada kanan perut.
Tambahnya, dua anggota berkenaan ketika kejadian telah melepaskan lebih 10 das tembakan ke arah penyeludup menyebabkan tiga daripada mereka mengalami kecederaan.
"Kita sedih dengan kehilangan mereka namun pada masa sama amat berbangga dengan keberanian yang telah ditunjukkan kedua-dua anggota daripada PGA Batalion 3 kerana mereka telah menunjukkan keberanian yang sangat hebat.
"Mereka telah bertempur dengan lebih 13 orang penyeludup dari Thailand... semasa kejadian apabila berlaku tembak-menembak, penyeludup telah bawa lebih kurang 12 bungkus ketum dan ubat batuk, iaitu kira-kira 400 ke 500 kilogram dalam guni," katanya.
Surina berkata demikian selepas melakukan tinjauan di lokasi kejadian tembakan di Pos TS 9, Felda Mata Ayer, Padang Besar hari ini.
Tambahnya, anggota PGA bersama pasukan Komando VAT69 kemudiannya berjaya mengesan dua penyeludup bersembunyi di kawasan hutan berdekatan dan merampas kira-kira 500 kilogram ketum serta sejumlah ubat batuk sebelum menahan kedua-duanya.
Tegas beliau, usaha memburu tujuh lagi penyeludup sedang dilakukan pasukan keselamatan Malaysia dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand.
#PGA
#ditembak
#sempadan
#malaysia-thailand
#penyeludup
#ubat batuk
#ketum
#Koperal Baharuddin Ramli