Dua anggota kumpulan Geng Jiva didakwa merompak, miliki senjata
Abd Razak Mohd Ali
November 9, 2023 13:52 MYT
November 9, 2023 13:52 MYT
IPOH: Dua anggota ‘Geng Jiva’, kumpulan penjenayah yang paling dikehendaki di Ipoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas 10 pertuduhan melibatkan kes memiliki senjata berbahaya, rompak, pecah rumah dan mendatangkan kecederaan antara Jun 2022 hingga Oktober 2023.
K. Gunasegaran, 34 dan K. Kaliswaran, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Gunasegaran, yang bekerja sebagai juru pendawaian didakwa dengan 10 pertuduhan, termasuk satu yang didakwa dilakukan bersama Kaliswaran.
Dia yang masih bujang didakwa tiga kes merompak, tiga kes rompakan berkumpulan dan masing-masing satu kes mendatangkan kecederaan, memiliki senjata berbahaya, pecah rumah dan rompak bersenjata, di sekitar Ipoh, antara 18 Jun 2022 hingga 18 Oktober lalu.
Kaliswaran yang bekerja di kedai mencuci kereta pula didakwa bersama Gunasegaran melakukan rompak berkumpulan dengan menggunakan senjata tajam, di Regat Mansion, Ipoh, kira-kira jam 10.30 pagi, 18 Oktober lalu.
Bagi pertuduhan ini, mereka didakwa di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah.
Baru-baru ini, media melaporkan polis berjaya memberkas empat suspek, yang dipercayai anggota ‘Geng Jiva’, kumpulan penjenayah yang paling dikehendaki kerana terlibat dalam kes samun bersenjata, pecah rumah dan mendatangkan kecederaan di sekitar Ipoh.
Hasil siasatan awal, polis percaya dengan penahanan kesemua suspek, sekurang-kurangnya 24 kes jenayah kekerasan dan 34 kes jenayah harta benda yang dilaporkan di sekitar Ipoh, khususnya di Taman Canning, Taman Ipoh Timor dan Bercham, berjaya diselesaikan.